Friday 21 September 2012

Pilihan Raya Kampus-Bukti Kematangan atau Kementahan Mahasiswa dalam berpolitik.



Assalamualaikum w.b.t pembuka bicara. 

Sempena demam pilihan raya kampus yang baru sahaja membuka tirai pada 20 september 2012, Mahasiswa Felda tidak terkecuali dalam melontarkan idea dan sedikit kritikan membina kepada calon-calon sama ada daripada Penggerak Mahasiswa mahupun Pro Mahasiswa.

UNIVERSITI MALAYA- Demam PRK telah bermula. Pihak Pro-Mahasiswa  dan Penggerak Mahasiswa masing-masing dilihat mempunyai strategi yang tersendiri dalam melancarkan perang saraf bagi meraih sokongan mahasiswa. Polemik politik yang semakin kencang dilihat bertambah menarik hari demi hari. Speaker Corner telah mula digunakan dengan hujah-hujah yang berbaur manifesto daripada kedua-dua belah pihak. Yang jelas, pihak Mahasiswa Felda (MF) berharap agar perjuangan politik di kampus adalah bersendikan kebajikan mahasiswa dan bukannya berpaut dan mengheret politik luar masuk ke dalam kampus.

MF berpendapat bahawa kedua-dua pihak perlu lebih matang dan telus dalam PRK kali ini. Isu-isu seperti bantahan secara demonstrasi, vandalisme dan penculikan perlulah dielakkan. Perlu diingatkan, calon adalah wakil mahasiswa dalam isu kebajikan mahasiswa dan bukan berdasarkan populis semata-mata.  MF sebenarnya kurang bersetuju dengan sesetengah perkara yang dibangkitkan dalam pidato yang dijalankan oleh pihak Pro-M baru-baru ini. Mengapa perlu perkataan “BERSIH” digunakan sebagai “TRADEMARK” tuntutan yang dibentangkan? Bagi MF, mahasiswa adalah nadi Negara dan boleh berfikir dengan lebih kritis dan bukannya hanya mengekor sesetengah parti politik dengan mengheret isu-isu yang tidak berkaitan ke dalam kampus. tambahan lagi MF adalah warga Felda yang sedang menuntut di universiti tempatan di mana kami perlu memastikan wakil pelajar yang kami adalah pihak yang dapat membawa isu kampus ke pihak Hal Ehwal Pelajar. Walaubagaimanapun, MF tidak berpihak kepada mana-mana pihak mahupun individu. Undi anda adalah rahsia J.

MF juga kurang berpuas hati dengan penglibatan mahasiswa dalam politik luar. Mengapa perlu berpolitik di luar kampus sedangkan kami mengundi anda bagi membela kebajikan kami selaku pelajar. Perlukah politik di luar kampus? Tidak cukupkah isu-isu di dalam kampus sehingga calon perlu ke luar kampus untuk mencari isu? Adakah dengan menonjol di hadapan ribuan rakyat Malaysia sudah cukup membuktikan anda adalah suara kami? Ingat! Suara kami selaku pengundi atas pagar adalah lebih banyak daripada ahli pro mahupun penggerak sendiri.

mungkin ada yang berpendapat kami warga Felda yang sememangnya berada di bawah tampuk pemerintahan kerajaan yang cukup dikenali sebagai Barisan Nasional terlibat sama dalam PRK ini. 

SAMA SEKALI TIDAK.

MF sendiri dapat melihat Felda tidak pernah berminat untuk masuk campur hal ehwal PRK di setiap IPTA/S kerana PRK bertanding untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar. Hal ehwal permaslahatan mahasiswa perlu dipertanggungjawabkan oleh mereka. Jadi untuk apa Felda masuk campur?
MF merasakan budaya kutuk-mengutuk dan saling mengfitnah perlu dihapuskan. Kita bukan lagi anak kecil yang perlu merengek-renek untuk mendapatkan simpati. Jika anda mahasiswa berkualiti, tentanglah lawan anda dengan bijak dan bertamadun. Kita generasi Y, ada cara tersendiri. Biarlah kalah dengan bermaruah jangan menang dengan keji. kalah jangan jadi abu menang jangan jadi arang.
Mahasiswa visual tonggak Negara pada masa hadapan. Jika mampu menjadi yang lebih baik kenapa tidak?
p/s:kadang-kala, menjadi yang biasa-biasa adalah lebih baik daripada menjadi yang luar biasa dalam kalangan yang luar biasa J.

Tuesday 10 July 2012

Mahasiswa FELDA : HIMPUNAN OREN SELAMATKAN FELDA.


Assalamualaikum. mungkin ada yang masih belum peka mengenai HIMPUNAN OREN SELAMATKAN FELDA kan? 

Himpunan ini bakal diadakan pada hari Sabtu 14 Julai 2012 bertempat di hadapan Masjid Wilayah Jalan Duta. Mereka berhimpun pada jam 2 petang iaitu selepas solat maghrib terus menuju ke Istana Negara Baru bagi menghantar memorandum hasil tandatangan penghimpun. Tujuan mereka bertujuan untuk menggesa Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim untuk mencampur tangan urusan penyenaraian Felda Global Venture di Bursa Saham.

Perhimpunan yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu mensasarkan lebih 20, 000 penghimpuan akan turut hadir yang turut membawa 8 GAGASAN yang mereka inginkan menjadi kenyataan. Gagasan tersebut adalah :

1. Memecat Isa Samad sebagai Pengerusi Felda.
2. Batalkan pinjaman bank peneroka.
3. Batalkan cagaran tanah Felda Plantation.
4. Selesaikan tuntutan-tuntutan peneroka Felda.
5. Melindungi tanah-tanah peneroka.
6. Menjamin kepentingan masa depan generasi kedua dan ketiga.
7. Batalkan Felda Plantation dan buka Felda baru untuk generasi kedua Felda. 

Adakah anda setuju dengan 8 GAGASAN ini?

Bagi pendapat Mahasiswa Felda yang merupakan mahasiswa/i Felda yang belajar di IPTA/S di Malaysia, kami merasakan GAGASAN KE-6 TIDAK RELEVAN kerana Felda telah menyediakan pelbagai cara untuk memastikan generasi kedua dan ketiga tidak diabaikan. Mereka telah menubuhkan Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru Felda bagi memastikan pentadbiran generasi seterusnya di warisi.

Antara sumbangan yang mereka sedang jalankan untuk generasi baru adalah :


1. kemudahan pendidikan
2. bantuan dan pinjaman pendidikan
3. latihan kemahiran
4. kemudahan sosial

-----------------

Berbalik pada HIMPUNAN OREN SELAMATKAN FELDA tersebut, dua soalan yang ingin Mahasiswa Felda timbulkan:

Apakah relevannya himpunan ini menjemput PAS, gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Dalam Bahasa Melayu (PPSMI), Gerakan Mansuh ISA, dan NGO-NGO lain? 

Sejauh manakah keberkesanan himpunan ini dalam memastika * GAGASAN itu dapat direalisasikan?

Persoalan ini harus dijawab dengan tuntas agar masyarakat faham dan menyedari kepentingan himpunan ini.

Mahasiswa FELDA : BANTUAN DAN PINJAMAN MELANJUTKAN PELAJARAN KE IPTA/IPTS

Selamat Datang.

Kami Mahasiswa Felda menyediakan peluang dan ruang untuk anda mengetahui info-info terkini yang berlaku di dalam Felda. Segala kebaikan yang boleh anda ingin tahu boleh didapati di sini. Dari semasa ke semasa, kami akan berusaha sedaya mungkin untuk memberikan ilmu dan pengetahuan yang terbaik kepada anda. 

Tahukah anda? 

Felda ada menyediakan Bantuan dan Pinjaman Melanjutkan Pelajaran ke IPTA/IPTS.

kepada adik, saudara, atau kawan Mahasiswa Felda yang ingin juga melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS, anda bolehlah menghubungi Felda secepat mungkin sebaik sahaja keputusan SPM anda keluar. 

boleh hubungi di sini. 

Jabatan Inovasi & Pembangunan Generasi Baru FELDA
Tingkat 2 Wisma Felda
Jalan Perumahan Gurney
54000 Kuala Lumpur
Telefon : 03-26172617 Samb : 4013
U/P : Puan Naemah Mohamad Yusof

BUKAN ITU SAHAJA. 

Felda juga ada menyediakan Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara. 

Dana ini membuka seribu peluang kepada anda yang ingin terbang ke luar negara. Mencapai dan mempelajari budaya dan cara pendidikan ke luar negara. info lanjut dan borang permohonan boleh didapati di sini.

http://escholarship.felda.net.my/ScholarOnline/general/utama.aspx

''Salah seorang admin Mahasiswa Felda pernah menghadiri temuduga untuk ke luar negara di bawah dana ini. mereka memerlukan kita berbahasa Inggeris dengan MAHIR dan mempunyai pemikiran yang MATANG dan mampu melaksanakan TANGGUNGJAWAB dengan baik. malangnya tak dapat sebab tak mampu nak bersaing dengan 2000 calon lain. ''

justeru, Felda memang banyak memberi peluang untuk membantu kita sebagai generasi kedua dan ketiga ini. Cuma kita sahaj yang masih berkhayal atau tidak tahu peluang-peluang yang masih ada.

info lanjut mengenai bantuan ini. Sila klik :

http://www.felda.net.my/feldav3/index.php?option=com_content&view=article&id=118&Itemid=178&lang=bm

Sunday 8 July 2012

Pertama dan Satu Permulaan.



Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurniaNya tertubuhlah blog Mahasiswa Felda ini yang bertujuan sebagai wadah bagi menyampaikan isi hati dan buah fikiran anak-anak Felda yang menuntut di menara gading.
Dewasa ini, kita seringkali dicanang dengan pelbagai berita berkenaan dengan isu-isu dalaman felda yang barangkali hanya warga felda sahaja yang memahami dan merasai akan pahit getir yang telah dilalui oleh ayahanda dan bonda kita sebagai Peneroka Felda suatu ketika dahulu.
Namun sejak akhir-akhir ini, pelbagai spekulasi timbul terhadap Felda disebabkan oleh kepentingan-kepentingan politik individu yang tidak bertanggungjawab, yang memanipulasi isu-isu Felda untuk kepentingan mereka sendiri. Keadaan ini amat menggusarkan kami Mahasiswa Felda yang sedang menuntut di IPT kerana kami amat terkesan dengan provokasi yang telah dimainkan oleh individu-individu terbabit terhadap Felda.

Kami amat kecewa dengan perkara ini kerana kami percaya, hanya warga Felda sahaja yang berhak untuk menentukan masa depan mereka sendiri kerana Felda berdiri diatas usaha dan keringat bapa-bapa kita yang telah bersusah payah untuk memajukan tanah rancangan Felda sehingga ke hari ini.
Kami Mahasiswa Felda yang terdiri daripada generasi ke-2 dan generasi ke-3 Felda berazam dan berikrar akan membela dan melindungi Felda dari ancaman-ancaman dan provokasi luar yang tidak bertanggungjawab, yang akan merosakkan masa depan anak bangsa khususnya warga Felda sekalian. Akhir kalam, Felda Hanya 1 Di Dunia